Monday, January 11, 2010

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Karai terletak lebih kurang 10 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar merupakan salah sebuah sekolah terawal di negeri Perak. Ia terletak di atas tapak yang dimiliki kerajaan pada lot 240, 2613 dan 2569 (Mukim Kota Lama Kanan) dengan keluasan 3e or 30p. Kedudukannya adalah berhampiran dengan Jambatan Vicoria iaitu jambatan kereta api serta berhampiran dengan Sungai Perak.

Pada masa Perang Dunia Kedua, bangunan sekolah dan kawasannya telah dijadikan pusat pertahanan askar-askar Jepun. Sehingga sekarang masih terdapat kesan-kesan kubur mangsa peperangan di kawasan bangunan lama berhampiran Sungai Perak. Walau bagaimanapun bangunan lama berhampiran Sungai Perak telah dirobohkan dan kawasan itu dijadikan sebagai padang bola.

Pada permulaannya, sekolah ini telah dibangunkan dengan jenis bangunan kekal yang terdiri daripada tiga buah bangunan. Bangunan pertama beratap genting dan berdinding batu. Bangunan kedua pula bertiang batu dan berdinding tepas buluh. Manakala bangunan ketiga adalah beratap genting dan berdinding tepas buluh juga. Ketiga-tiga bangunan ini dibuka pada tahun 1900. Terdapat sembilan buah bilik darjah termasuk bilik guru.

Pada awalnya sekolah ini terbahagi kepada dua jenis sekolah yang berasingan iaitu dengan nama Sekolah Melayu Laki-laki dan Sekolah Melayu Perempuan. Guru besar bagi Sekolah Melayu Laki-laki bernama Cikgu Dapat. Manakala guru besar Sekolah Melayu Perempuan pula tidak diketahui siapakah namanya sehinggalah sekolah ini disatukan di bawah satu pentadbiran.

SK Karai Animation

0 comments: